Pelakon dan pengacara terkenal, Mira Filzah, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima bagi lakonannya dalam filem Indonesia, Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.
Ketika ditemui XTRA, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya apabila penonton memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap lakonannya.
“Alhamdulillah, banyak sangat feedback dan review yang baik. Saya sangat tersentuh hati melihat penerimaan penonton,” kata Mira dengan penuh rasa syukur.
Berbeza dengan sesetengah pelakon yang memilih untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, Mira lebih selesa memberi tumpuan kepada industri hiburan di Malaysia.
“Sejujurnya, saya tak merancang untuk ke luar negara buat masa ini. Saya masih mengutamakan industri di Malaysia kerana keluarga adalah keutamaan saya. Anak saya masih kecil, jadi jika ada peluang yang baik, saya akan berbincang dengan suami dahulu,” jelasnya.
Mira turut mengakui bahawa sebagai pelakon wanita, perjalanan dalam industri seni penuh dengan cabaran, lebih-lebih lagi apabila perlu berehat untuk kehamilan dan bersalin.
Namun, Mira tetap bersyukur perjalanan kariernya berjalan dengan lancar dan segala peluang yang diterima membuka ruang untuk terus berkembang dalam industri.
“Sebagai wanita, ada fasa di mana kita perlu berhenti seketika untuk mengandung dan bersalin. Jadi, untuk kembali semula ke industri, ia bukan sesuatu yang mudah.”
“Saya bersyukur kerana perjalanan saya dipermudahkan. Peluang yang datang semuanya baik-baik belaka, dan itu membuatkan saya sebak. Ini adalah satu pencapaian besar dalam kerjaya saya,” tambahnya.




