Pendakwah bebas, PU Syed, menegur secara terbuka pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima, susulan kontroversi yang tercetus daripada dua drama terbitannya baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Instagram, PU Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 43, menyuarakan rasa kurang senangnya terhadap drama Bidaah, yang didakwanya mengandungi unsur keterlaluan serta boleh memberikan tanggapan negatif terhadap Islam.
“Cerita Bidaah tu sendiri dah Bidaah Dholalah, apatah lagi plot-plot cerita yang melampau ditonjolkan khasnya bila melibatkan islam. Sudah mati idea gamaknya sutradara di Malaysia ni dalam menghasilkan cerita-cerita berkualiti dan patuh syariah,” tulisnya.
PU Syed juga berpandangan walaupun isu ajaran sesat memang wujud dalam masyarakat, tidak semestinya ia perlu dipaparkan secara terang-terangan kepada khalayak, lebih-lebih lagi jika terdapat adegan yang tidak sesuai, seperti babak atas katil yang kini hangat diperkatakan di media sosial.
“Mak Cik Erma Fatima ni bolehlah cuba buat drama yang melibatkan cinta kepada tanah air seperti ketenteraan, kepolisian, atau cerita-cerita islamik yang lebih realistik untuk kesedaran masyarakat,” tambahnya.
Kenyataan PU Syed mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dimana ada yang menyokong pandangannya, namun ada juga yang berpendapat kebebasan berkarya tidak seharusnya dikekang selagi tidak melanggar undang-undang.




