am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebanyak 69.7 peratus atau tujuh daripada 10 wanita di Selangor menyertai sektor pekerjaan berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu selain dipengaruhi keperluan kepakaran dan bakat, ia turut disumbang oleh faktor tekanan ekonomi yang memerlukan kedua-dua pasangan suami atau isteri bekerja.
Beliau berkata, majoriti wanita di negeri ini bekerja di bahagian sumber manusia, pembuatan serta perkhidmatan.
Katanya, penyertaan wanita dalam sektor kritikal seperti kejuruteraan dan kepimpinan bagaimanapun masih berada di tahap yang rendah.
“Kita sudah melepasi 69 peratus dan ia adalah petanda ia bukan lagi satu dogma atau sebagai perkara taboo untuk wanita menyertai sektor pekerjaan.
“Cumanya, sekarang kita perlu pertingkatkan bagaimana sektor tertentu, layanan wanita di tempat kerja dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Wanita MyWira 2025 Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Turut hadir Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.
Dalam pada itu, Amirudin berkata melalui kerjasama berkenaan, kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melaksanakan Jelajah Wanita MyWira 2025 di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April hingga November ini.
“Ia bertujuan memberikan kemahiran, peluang pekerjaan dan sokongan pengintegrasian wanita dalam tenaga kerja selain fokus kepada bengkel latihan kemahiran, insentif tenaga kerja dan kebolehpasaran pekerjaan dan menyediakan peluang penempatan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Steven Sim berkata, melalui program itu pihaknya akan mendekati wanita berusia antara 20 hingga 44 tahun dalam usaha mencapai sasaran 1.4 juta golongan itu menyertai sektor pekerjaan.
“Ia termasuk program jelajah yang kita lakukan, latihan, bengkel dan sebagainya. Jadi kita akan keluar dan memperluaskan lagi capaian kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




