Zionis biadab ceroboh al-Aqsa

Zionis biadab ceroboh al-Aqsa
Zionis biadab ceroboh al-Aqsa

Ruang solat al-Aqsa pernah menjadi sasaran serbuan ganas Zionis sebelum ini. Foto Agensi

BAITULMAQDIS – Rejim Zionis sekali lagi menceroboh Masjid al-Aqsa di bawah langkah provokasi melampau yang mencemari kesucian bulan Ramadan.

Pusat Media Palestin memetik kenyataan sumber tempatan melaporkan tentera Israel menyerbu masuk Dewan Solat Qibli di masjid ketiga paling suci orang Islam itu dan merampas pembesar suara yang biasa digunakan untuk melaungkan azan.

Ramadan pada kali ini menyaksikan Zionis semakin mengetatkan sekatan di kawasan pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) apabila ia menghalang akses penduduk Palestin dari Tebing Barat.

Pada Isnin, hanya 60,000 penduduk Palestin dilaporkan menunaikan solat tarawih pada malam ke-10 Ramadan.

Angka itu dikatakan lebih rendah berbanding 80,000 yang hadir untuk mengerjakan solat sunat itu pada Isnin minggu lalu.

Jabatan Wakaf dan Hal Ehwal al-Aqsa memaklumkan sebahagian besar jemaah adalah penduduk di wilayah Baitulmaqdis atau penduduk Palestin yang tinggal di Israel.

Ketika ini, Zionis turut mengerahkan ribuan anggota keselamatan di Kota Lama tersebut selepas ia mengumumkan sekatan lebih ketat yang hanya membenarkan lelaki berusia lebih 55 tahun dan wanita berumur lebih 50 tahun serta kanak-kanak sehingga 12 tahun memasuki Haram al-Sharif, namun tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan dan mempunyai permit kebenaran.

Ancaman Zionis semakin meningkat di wilayah Palestin selepas Israel meningkatkan kempen serbuan ganas di beberapa bandar di Tebing Barat sejak pertengahan Januari lalu. – Agensi

Scroll to Top