Kuala Lumpur: Astro Audio menyambut baik keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra), yang merangkumi Era, Mix dan Melody FM.
Dalam satu kenyataan bagaimanapun mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan dan akan memberikan kerjasama dengan SKMM berhubung isu memuat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, Astro Audio akan kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaian dan perpaduan dalam setiap perkara yang dilakukan selain mengakui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di Era.
“Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan yang sudah dipupuk sekian lama oleh Era bersama pendengarnya.
“Pada masa yang sama, kami mahu terus memberikan sokongan penuh kepada semua individu terbabit sambil beriltizam untuk berusaha belajar, menambah baik dan memastikan kandungan kami mencerminkan nilai-nilai saling menghormati dan terangkum,” katanya.
Terdahulu SKMM mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM.
Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025).
Denda itu dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.
SKMM dalam kenyataan hari ini menjelaskan pihaknya juga memutuskan untuk tidak menggantung lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali Era FM, selepas meneliti rayuan syarikat itu terhadap notis penggantungan dikeluarkan 7 Mac lalu.
Menurutnya keputusan itu mengambil kira hujah yang dikemukakan dalam rayuan, tindakan pemulihan yang diambil oleh pemegang lesen, serta permohonan maaf rasmi daripada pihak terbabit.
Suruhanjaya itu juga mempertimbangkan kesan penggantungan terhadap Melody dan Mix FM, yang beroperasi di bawah lesen yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




