Ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf tampil membuat laporan polis selepas tular satu video memaparkan beliau berjalan bersama dua anaknya di kawasan parkir motosikal Blok R, Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya.
Ismanira mendakwa menerima pautan video TikTok berdurasi kira-kira seminit itu melalui aplikasi WhatsApp pada 6 Mac lalu.
Video tular mengejutkan ibu mangsa

Terkejut dengan penyebaran video tersebut, beliau tampil membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang pada 2.43 petang, Ahad lalu.
Terbaru, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, mengesahkan bahawa proses rakaman keterangan tersebut telah dijalankan kelmarin.
Kes dirujuk ke IPD Petaling Jaya

Walaupun keterangan telah diambil, Mohd Hafiz menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan menjalankan siasatan lanjut kerana kejadian tersebut berlaku di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Oleh itu, laporan tersebut telah dirujuk semula kepada IPD Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.





