Penjawat awam wanita digalak ambil SKSSR

Penjawat awam wanita digalak ambil SKSSR

mdroji@bh.com.my

Kuching: Penjawat awam wanita digesa mengambil Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sebagai perlindungan kepada mereka apabila kejadian tidak diingini berlaku ketika mereka berada di rumah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berlaku, ketika ini majoriti penjawat awam wanita tidak menyedari mereka juga perlu mengambil skim berkenaan kerana memiliki kerjaya.

Menurutnya, skim berkenaan ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kadar caruman terendah dan mampu dibayar oleh semua penjawat awam wanita.

“Mereka terlupa sebab dia memang dapat gaji daripada pekerjaan dengan kerajaan, tetapi apabila balik rumah dia adalah suri rumah.

“Skim yang ditawarkan Perkeso ini akan melindungi mereka sebagai suri rumah,” katanya majlis perasmian Program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Bangunan Perkeso di sini, hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs mahu penjawat awam wanita mengambil skim itu bagi memastikan mereka sentiasa dilindungi.

“Datang kerja dalam keadaan selamat tetapi apabila balik rumah kita tak pasti, kadang-kadang periuk belanga pun boleh terbang.

“Jadi Cuepacs menyeru supaya penjawat awam wanita menggunakan sepenuhnya skim itu demi masa depan mereka,” katanya.

SKSSR yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2022, diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

Skim itu bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Mengenai program itu, Adnan berkata ia antara langkah Cuepacs dalam usaha untuk meningkatkan nilai tambah kemahiran penjawat awam.

“Sebab itu kita buat jerayawara dari Perlis hingga Sabah supaya penjawat diberi penerangan tentang usaha mewujudkan pensijilan SKM untuk meningkatkan kemahiran mereka.

“Ini penting supaya penjawat awam meningkatkan kemahiran bersesuaian dengan peningkatan gaji yang diberi oleh kerajaan Malaysia Madani,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top