Kuala Lumpur: Pelakon juga penyampai radio, Sharifah Shahirah, 51, bakal menghangatkan segmen 3 Pagi Era bersama Haziq Hussni dan Namie bermula Isnin ini.
Shahirah Shahirah atau mesra disapa sebagai Shiera menggalas tugas itu bagi mengisi kekosongan apabila tiga penyampai asal iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jazmin kini direhatkan.
“Dah sah ya semua! Shiera akan ke udara bersama Haziq dan Namie bermula Isnin ini. Sebutan legit betul, nombor telefon dah hafal, bos pun sudah luluskan.
“Pasal bayaran nanti kita bincang dengan bos, Shiera kata nak guna panggilan Deejay Rare nanti,” kongsi Era FM dalam satu hantaran Instagram.
Semakan di ruangan komen mendapati ramai teruja dan tidak sabar untuk mendengar Shiera ke udara semula selepas mengundurkan diri dari stesen radio terdahulu.
Malah, ada yang mengharapkan dia akan terus dikekalkan di stesen radio Era.
“Harap Deejay Rare akan kekal di Era, bukan sekadar mengisi kekosongan saja. Shiera ke udara Isnin depan, memang aku akan dengar Era. Mantap!” antara komennya.
Segmen 3 Pagi Era diambil alih Namie dan Munabella selepas tiga penyampai asalnya direhatkan baru-baru ini.
Beberapa hari lalu, Shiera meninggalkan komen dengan menawarkan diri menggantikan tempat tiga penyampai segmen 3 Pagi Era.
Perkongsian itu tular dan mendapat maklum balas ramai sehingga meminta Era FM mengambil Shiera sebagai penyampai radio segmen pagi.
Terdahulu, Azad, Nabil, dan Radin terpalit kontroversi selepas video mereka tular dan didakwa mempersendakan agama lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




