TSG sasar podium Tour de Taiwan

TSG sasar podium Tour de Taiwan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pasukan berbasikal benua terbaik dunia, Terengganu Cycling Team (TSG) mensasarkan untuk merangkul satu podium di Tour de Taiwan yang akan berlangsung pada esok hingga 20 Mac ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus menjelaskan, kejohanan bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu membabitkan lima peringkat perlumbaan sejauh 646.49 kilometer (km) yang bermula di Taipei City dan berakhir di Liugdui Hakka Cultural Park, Pingtung.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa pelumba, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai kerana empat pelumba import disandarkan harapan dalam kejohanan itu serta seorang pelumba tempatan kelahiran Terengganu.

“Pada kejohanan yang turut disertai 115 pelumba daripada 23 pasukan seluruh dunia, TSG menyandarkan harapan kepada empat pelumba import iaitu Metkel Eyob (Eritrea), Vadim Pronskiy (Kazakhstan), Mathias Bregnhoj (Denmark) dan pelumba kelahiran Afrika Selatan, Stefan De Bod serta seorang pelumba tempatan, Khee Zhe Yie.

“Bagi mengharungi cabaran di Taiwan yang mempunyai laluan berbukit itu, kami mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu podium dan mengutip sebanyak mungkin mata bagi mengekalkan gelaran juara Asia musim ini.

“Kami berkeyakinan dengan pemilihan lima pelumba itu, mereka mampu menggalas harapan yang diletakkan kepadanya untuk memburu podium dan seberapa banyak mata ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, memandangkan pada bulan Ramadan, pihaknya mengubah suai program latihan bagi memastikan pelumba terus konsisten.

“Biasanya latihan pada waktu siang, tapi sepanjang bulan puasa ini, sesi latihan diubah pada sebelah malam bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelumba.

“Program ini adalah rutin pada bulan Ramadan dan pelumba tidak menghadapi masalah untuk berkayuh iaitu bermula selepas solat Tarawih pada jam 10 malam antara dua hingga tiga jam,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top