mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Seorang lelaki dikesan menceroboh beberapa rumah di USJ 6 di sini, dengan memanjat tembok sebelum menyelongkar kenderaan bagi mencuri barangan berharga.
Dalam kejadian Jumaat lalu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menceroboh sebuah rumah di kawasan itu sebelum menyelongkar kereta mencari barangan berharga untuk dicuri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki yang bekerja dalam bidang insurans pada hari kejadian berhubung kejadian itu.
Menurutnya, mangsa melaporkan suspek menceroboh rumahnya pada 12.50 tengah malam seterusnya membuka pintu kereta yang tidak dikunci dan mencuri wang tunai RM20.
“Selepas kejadian ini, suspek yang sama disyaki menceroboh rumah lain di kawasan perumahan yang sama menggunakan modus operandi serupa, jarak antara kedua-dua rumah lebih kurang 300 meter.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu kesalahan mencuri dan pencerobohan jenayah,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100, Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Aiman Hafiz Ahmad Nadzri, di talian 018-395 7661 atau mana-mana balai polis berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




