mahanum_aziz@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rancangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dijangka tidak menjejaskan secara ketara prestasi jualan kenderaan dalam pasaran tempatan, kata penganalisis.
Perangkaan daripada pelarasan subsidi pada tahun 2008, 2014 dan 2016 sebelum ini menunjukkan tiada
penurunan ketara dalam jumlah keseluruhan industri (TIV), sekali gus membuktikan daya tahan pasaran di tengah-tengah peningkatan kos bahan api.
Malah rasionalisasi subsidi dijangka memacu perubahan struktur dalam pilihan pengguna, memanfaatkan segmen kenderaan elektrik (EV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang cekap bahan api.
Menurut BIMB Securities Research, isi rumah berpendapatan tinggi T15 berkemungkinan akan mempercepatkan peralihan mereka daripada kenderaan ICE kepada EV, disokong oleh kos operasi jangka panjang yang lebih rendah, insentif kerajaan dan tumpuan yang semakin meningkat pada kelestarian.
Sementara itu, katanya pengguna M40 dan berpendapatan rendah pula mungkin akan beralih ke model jimat bahan api untuk mengurangkan kos bahan api yang semakin meningkat, mengutamakan pilihan mampu milik dan menjimatkan seperti Perodua Axia dan Bezza.
“Walaupun harga bahan api lebih tinggi, permintaan yang stabil untuk kenderaan ICE yang ekonomik dan penggunaan EV yang semakin meningkat seharusnya membantu mengekalkan pertumbuhan TIV secara keseluruhan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut BIMB Securities Research, pasca pembaharuan subsidi pada Jun 2008, Disember 2014 dan 2015 hingga 2016, memperlihatkan kestabilan TIV di negara ini, menjadikan jangkaan penurunan secara mendadak meleset sama sekali.
Katanya, pada 5 Jun 2008, kerajaan melaksanakan kenaikan harga bahan api yang ketara, menaikkan RON97 kepada RM2.70 satu liter daripada RM1.92, RON92 kepada RM2.62 seliter daripada RM1.88 dan diesel kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.
“Peralihan dasar ini, di samping krisis subprima Amerika Syarikat (AS), melembapkan sentimen pengguna, menyumbang kepada penurunan dua peratus TIV kepada 536,905 unit pada 2009, berbanding 548,115 unit pada 2008.
“Namun permintaan untuk model mampu milik dan jimat bahan api kekal berdaya tahan, dengan jualan lebih tinggi dicatatkan bagi Perodua Myvi, Proton Saga dan Perodua Viva,” katanya.
BIMB Securities Research menjelaskan, perubahan dasar daripada pengenalan RON95 pada 2009 kepada sistem apungan terurus pada 2014 memberi kesan beransur-ansur kepada industri automotif Malaysia.
Ia berkata, pengguna mula memilih kenderaan yang lebih jimat bahan api dan mampu milik tetapi tanpa gangguan besar kepada jumlah jualan keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




