Eda Ezrin tidak sabar pulang ke pangkuan keluarga

Eda Ezrin tidak sabar pulang ke pangkuan keluarga

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: “Eda Ezrin dalam keadaan baik walaupun menyambut Ramadan di dalam penjara, dia sudah tidak sabar mahu pulang ke pangkuan keluarga.”

Demikian kata Wan Ismail Wan Yusuf, 52, iaitu bapa kepada penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norsahidah Azlin, 30, yang kini masih berada di Penjara Narathiwat.

Pada 6 Mac lalu, Eda Ezrin dan suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim terhadap Eda Ezrin dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas meneliti kesemua keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan berlangsung.

Wan Ismail berkata, kali terakhir anak bongsunya, Faqihah, 19, serta bekas isterinya melawat Eda Ezrin adalah pada Khamis lalu.

“Memang setiap hari Khamis keluarga kami akan mengunjungi Eda di Narathiwat dan alhamdulillah anak saya sudah ceria memandangkan keputusan kes memihak kepadanya.

“Cuma Eda memaklumkan tidak sabar untuk pulang menemui keluarga dan kini hanya menunggu masa sama ada terdapat bantahan daripada pihak pendakwaan.

“Eda sendiri tidak mengetahui sebarang perkembangan setakat ini memandangkan peguamnya juga belum berjumpa dengannya selepas kes mahkamah tempoh hari,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, walaupun sedih sambutan Ramadan tanpa anak tersayang, namun dia tetap bersyukur ujian besar yang menimpa mereka sekeluarga sudah hilang apabila Eda Ezrin dibebaskan daripada tuduhan memiliki dadah.

“Memang sedih terutama ketika Ramadan mengenangkan anak di penjara, namun memikirkan dia akan pulang tidak lama lagi menjadikan hati saya kembali tenang.

“Eda juga turut memaklumkan selera makannya sudah ada ketika Ramadan memandangkan kesnya sudah selesai.

“Kami sekeluarga kini berdoa dan mengadakan solat hajat supaya Eda dapat kembali secepat mungkin dan kesnya tidak mendapat sebarang bantahan daripada pendakwaraya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top