Hina nabi, polis rakam percakapan penulis buku

Hina nabi, polis rakam percakapan penulis buku

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menerima 13 laporan berhubung kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W di laman Facebook (FB) oleh seorang penulis buku dan usahawan.

Susulan itu pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dibuat berhubung perkara itu.

Menurutnya, laporan awal kes berkenaan dibuat oleh seorang lelaki berusia 34 tahun, Sabtu lalu di Balai Polis Beranang, Kajang dan polis juga sudah mengenalpasti identiti suspek wanita berusia 75 tahun.

“Pada masa ini siasatan sedang dijalankan dan tindakan awal kita adalah memanggil pemilik akaun laman Facebook tersebut.

“Pihak polis sudah merakam percakapan pengadu terbabit bagi melengkapkan siasatan awal.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, PDRM juga turut merujuk kes sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menurunkan paparan dalam akaun FB suspek yang boleh mengelirukan pihak yang membaca paparan berkenaan.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa pihak polis tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang isu berkaitan 3R (Agama, Institusi Beraja dan Perkauman).

“Tindakan mengikut segala peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap pihak yang dikesan menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top