Isu hina nabi: Pemilik akaun Facebook setuju turunkan hantaran, mohon maaf – Jakim

Isu hina nabi: Pemilik akaun Facebook setuju turunkan hantaran, mohon maaf – Jakim

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengadakan pertemuan dengan pemilik akaun Facebook, Ainon Mohd, susulan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, baru-baru ini.

Jakim dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu dihadiri pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor bertujuan menegur serta menasihati individu berkenaan agar lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan berunsur Islam di media sosial.

“Jakim sudah membuat teguran dan menggesa beliau menurunkan kenyataan terbabit serta menasihati agar berhati-hati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berautoriti bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

“Beliau bersetuju hantaran berkenaan diturunkan daripada media sosial dengan mengemukakan permohonan maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Jakim menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang boleh mencemarkan kemuliaan Rasulullah SAW serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.

“Jakim menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh para pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium terbabit dan sebagai salah satu medium dakwah.

“Jakim berharap semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat perkongsian hantaran menghina Nabi Muhammad SAW oleh pemilik Facebook yang menggunakan nama akaun Ainon Mohd, susulan 13 laporan polis yang diterima di seluruh negara setakat malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut merujuk kes sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menurunkan paparan dalam akaun Facebook suspek yang boleh mengelirukan pihak yang membaca paparan berkenaan.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa pihak polis tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang isu berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

“Tindakan mengikut segala peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap pihak yang dikesan menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top