'Berani kerana benar' – Syed Saddiq

'Berani kerana benar' – Syed Saddiq

essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengetahui nasibnya esok, apabila Mahkamah Rayuan dijadualkan membuat keputusan terhadap rayuan kes dihadapinya berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Dalam perkongsian video berdurasi 37 saat di media sosial, Syed Saddiq berkata, beliau sudah melalui pelbagai tekanan dan cabaran sejak 2020, termasuk siasatan yang bermula dengan cubaan sogokan dan berakhir dengan ugutan.

Tegasnya yang dirinya tidak akan sesekali menggadaikan prinsip atau maruah, malah memilih untuk berdepan dengan proses perundangan tanpa sebarang cubaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau meminta kes digugurkan.

“Saya tidak menerima sogokan, saya tidak melompat parti, saya tidak meminta kes ini digugurkan dan saya tidak cuba melengah-lengahkan proses mahkamah.

“Saya mahu membersihkan nama saya di mahkamah, walau apa pun risikonya. Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT dan keputusan mahkamah. Insya-Allah, kebenaran akan tertegak jua,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga menyeru agar tiada sebarang tindakan protes atau serangan terhadap institusi kehakiman susulan proses esok, sebaliknya meminta semua pihak untuk mendoakan kebenaran dan keadilan buat dirinya.

“Berani kerana benar, saya tidak sabar untuk mempertahankan integriti saya di mahkamah.

“Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq , 32, dalam satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata, beliau sudah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan proses berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top