najiy.jefri@hmetro.com.my
DARI pakar audiologi ke penerbit filem, Dr Shasa Aziz berani mencabar dirinya.
Selepas lebih sedekad memperjuangkan kesedaran mengenai kesihatan pendengaran menerusi Eartistic Hearing & Balance Centre, kini Dr Shasa meneroka dunia perfileman dengan menerbitkan filem aksi komedi 6 Jilake di bawah syarikatnya, Eartistic Entertainment.
“Sepuluh tahun lalu, saya bermula dengan satu visi iaitu untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya pendengaran dan keseimbangan.
“Kini, saya memilih filem sebagai wadah baharu kerana saya percaya seni mampu memberi kesan lebih mendalam,” katanya yang menggabungkan kepakaran audiologi dengan elemen hiburan untuk menjangkau lebih ramai audiens.
Siapa sangka, dari dunia perubatan, Dr Shasa kini membawa revolusi dalam industri kreatif menerusi Eartistic Entertainment.
Selepas kejayaan siri animasi Kembara Utan yang mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui hiburan, Dr Shasa kini mempertaruhkan 6 Jilake, sebuah filem aksi komedi yang bakal menggegarkan pawagam pada 24 April ini.
“Filem ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah satu penghormatan kepada budaya dan sejarah Malaysia, dengan sentuhan moden yang mampu menarik perhatian generasi baharu.
“Saya mahu membawa cerita yang mampu mengubah perspektif dan menyatukan masyarakat,” katanya.
Selain filem, Eartistic Entertainment juga merancang untuk membangunkan jenama Kembara Utan ke peringkat global, menghasilkan muzik dan karakter animasi baharu yang dapat memberi impak kepada generasi muda.
Dengan kombinasi perubatan, pendidikan dan hiburan, Shasa terus meneroka sempadan baharu, membuktikan kepada orang ramai tiada batasan dalam membawa perubahan kepada masyarakat.
“Ini bukan sekadar perniagaan, ini adalah perjuangan. Saya mahu setiap individu sedar mendengar itu nikmat dan seni adalah medium terbaik untuk menyampaikan mesej yang besar.
“Dengan Eartistic, saya akan terus melangkah ke hadapan untuk memberi impak yang lebih besar,” katanya.
Filem 6 Jilake yang mendapat sentuhan pengarah prolifik tersohor, Aziz M Osman bakal ditayangkan di lebih 100 pawagam tempatan.
Bakal menjanjikan pengalaman baharu buat penonton, 6 Jilake dirumus dengan pelbagai kisah menarik yang mengambil inspirasi filem 6 Jahanam arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
6 Jilake menampilkan lakonan bintang berbakat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




