am@hmetro.com.my
Pendang: Tiga maut, manakala dua lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, kereta dan dua lori di Kilometer 58.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, awal pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.24 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Pendang yang diketuai Muhamad Farid Abdullah bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Tiga mangsa dalam kereta Proton Saga BLM itu dilaporkan tersepit dan meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda itu cedera.
“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 20 minit.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.,” katanya.
Zulkifli berkata, operasi tamat 5.02 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




