am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki bagi membantu menyelesaikan kes polis, dua tahun lalu.
Tertuduh Lui Hoh Yew, 67, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, warga emas itu didakwa menipu seorang lelaki dengan meminta rasuah RM20,000 bagi menyelesaikan kes polis membabitkan mangsa mengikut Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di kediaman mangsa di Taman Mutiara Rini, Skudai, di sini, antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 28 Mei 2023.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam K Bharati.
Bharathi dalam rayuan memaklumkan anak guamnya hanya membayar ikat jamin RM7,000 kerana tidak bekerja dan disara oleh anaknya berusia 35 tahun.
Menurutnya, tertuduh yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kolesterol turut memberi komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan menghadiri semua prosiding mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




