Raya Nak Ke Mana? Imbau Momen Nostalgia, Siti Nurhaliza Tiada Niat Bersaing – “Sekadar Nak Memeriahkan Aidilfitri”

Raya Nak Ke Mana? Imbau Momen Nostalgia, Siti Nurhaliza Tiada Niat Bersaing – “Sekadar Nak Memeriahkan Aidilfitri”

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil menjelaskan bahawa pelancaran single raya terbaharunya, ‘Raya Nak Ke Mana?’, bukan bertujuan untuk bersaing dengan artis lain.

Sebaliknya, beliau hanya mahu menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri dengan lagu baharu selepas kali terakhir muncul dengan ‘Lip Lap Raya’ dua tahun lalu.

“Saya bukan nak bersaing, sekadar ingin memeriahkan suasana. Mungkin sebab saya sudah lama dalam industri, jadi orang mempunyai harapan tinggi terhadap lagu raya saya.

Tapi di hati saya, saya tak pernah anggap ini satu pertandingan. Anak-anak muda ada kelebihan mereka sendiri, manakala saya hanya mahu mengekalkan konsep lagu raya yang sudah sinonim dengan saya,” katanya.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single ‘Raya Nak Ke Mana?’ serta single anak saudaranya, Umairah, ‘Tak Balik Raya’, baru-baru ini.

Menurut Siti, pihaknya menerima 10 lagu raya hasil ciptaan komposer muda, namun hatinya terpaut dengan karya Aisha Retno dan adiknya, RADi (Sayed Abu Hanifa Radityo).

Lirik lagu pula dihasilkan oleh Aisha Retno bersama komposer serta penulis berbakat, Amylea Azizan.

“Lagu ini masih mengekalkan rentak zapin, mengingatkan saya kepada karya Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah.

“Apabila Aisha mempersembahkan lagu berentak zapin dengan sentuhan moden, saya rasa ia sangat dekat dengan jiwa saya. Saya memang mahu kekalkan elemen ini seperti dalam lagu ‘Nazam Lebaran’ dan ‘Sesuci Lebaran’,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman merakamkan lagu ini, Siti mengakui segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesukaran.

“Proses rakaman sangat mudah dan menyeronokkan. Bekerja dengan Aisha amat menyenangkan kerana saya diberi kebebasan untuk menyampaikan lagu ini mengikut cara saya. Alhamdulillah, Aisha sememangnya seorang komposer yang berbakat besar,” katanya.

‘Raya Nak Ke Mana?’ merupakan hasil ciptaan Aisha Retno dan RADi, diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd. serta Universal Music Sdn. Bhd.

Lagu berentak zapin ini membawa kembali nostalgia lagu raya klasik, meneruskan legasi karya-karya raya Siti yang terdahulu.

Selain ‘Raya Nak Ke Mana?’, penyanyi tersohor itu turut dikenali dengan lagu raya ikonik seperti ‘Nazam Lebaran’ dan ‘Lip Lap Raya’, yang terus menjadi siulan peminat setiap kali musim perayaan tiba.

Scroll to Top