Pesara guru maut kemalangan

Pesara guru maut kemalangan

am@hmetro.com.my

Sekinchan: Seorang pesara guru maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang, dekat Tali Air 10, Pasir Panjang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, nahas 6.50 petang itu membabitkan Modenas Kriss dan Proton Inspira.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki warga emas berusia 70 tahun itu menunggang motosikal di kiri jalan sebelum mengubah haluan secara tiba-tiba.

“Mangsa dipercayai mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan untuk membuat pusingan U sebelum dilanggar kereta.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan kaki kanan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Yusof berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top