Gelaran Surau T20 dianggap satu rahmat

Gelaran Surau T20 dianggap satu rahmat

nurul_husna@hmetro.com.my

Shah Alam: “Kami hanya mahu meraikan jemaah yang sanggup menanti sehingga imam selesai witir solat Terawih dengan sajian enak. Ini juga antara amalan diusulkan Rasulullah SAW supaya menyajikan hanya terbaik kepada tetamu,” ujar Pengerusi Surau Elmina Garden, Prof Dr Amer Shakir Zainol ketika mengulas mengenai gelaran `surau T20′ daripada pengikut Tiktok baru-baru ini.

Surau Elmina Garden diberi jolokan itu apabila meraikan jemaah yang datang mengimarahkan surau itu sepanjang Ramadan dengan hidangan luar daripada kebiasaan dan dianggap ‘mewah’ termasuk kambing golek.

Dr Amer berkata, gelaran surau T20 itu terlalu tinggi dan menyimpulkan ia sebagai promosi yang sihat terutama pihaknya ketika ini sedang dalam proses membesarkan surau itu.

“Surau kami tidak jauh bezanya dengan surau lain iaitu menyantuni kariah masing-masing dengan jamuan berbuka sehinggalah kepada moreh menerusi hidangan yang sihat dan terbaik.

“Kami hanya menyedari jamuan yang disediakan sedikit lebih ‘mewah’ apabila membaca komen dan reaksi netizen di tiktok.

“Dari satu segi, ia maklum balas positif untuk individu selain kariah yang menyedari kewujudan surau ini. Tetapi satu aspek lain ialah terbit pula kebimbangan jika ada jemaah yang hadir tidak dapat menikmati sajian diidamkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan perlu membelanjakan sekitar RM200,000 untuk kempen Ihya Ramadan termasuk menyediakan sajian untuk 300 jemaah,” katanya.

Ketua bahagian penyediaan makanan Surau Elmira Garden, Mohd Nazrul Moin, mengakui terdapat peningkatan jumlah pek makanan untuk jemaah tahun ini berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu penyediaan makanan membabitkan 200 jemaah tetapi tahun ini meningkat kepada RM300.

“Itu sesuatu yang sudah dijangka kerana jumlah jemaah juga sudah meningkat berdasarkan kawasan perumahan sekitar sudah semakin penuh.

“Selain itu saya lihat ‘trend’ membabitkan amalan berbuka termasuklah jemaah yang berkeluarga lebih selesa menyertai iftar di surau atau masjid,” katanya.

Beliau berkata untuk Ramadan kali ini, lebih tujuh sajian kambing antara hidangan dijamu kepada jemaah sepanjang Ramadan selain pek sahur untuk jemaah pada 10 malam terakhir.

Sementara itu, kariah surau terbabit Izhar Ismail, menyifatkan usaha dilakukan jawatankuasa disambut baik oleh kariah terbabit.

“Orang rumah dan anak-anak saya paling gembira kerana dapat berbuka di surau. Bulan Ramadan ini sahajalah peluang berkumpul bersama jiran dan kenalan.

“Selain itu usaha surau dengan menjamu jemaah menerusi hidangan enak dan mewah dapat menarik jemaah hadir.

“Tumpang bangga juga apabila orang bercakap mengenai surau dan mahu sertai jemaah gara-gara gelaran T20,” katanya.

Dia menzahirkan penghargaan terutama penginfak yang menyumbang terhadap pembangunan dan program surau terbabit.

Penginfak yang mahu menyokong usaha dilaksanakan surau termasuk projek pembesaran surau menerusi akaun dana Surau Elmina Gardens. (Bank Islam , 12298010012399).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top