redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: “Sekarang ini saya nak tengok anak saya sihat dan keluarga cukup keperluan sahaja.
“Tak fikir pun soal raya atau teringin beli baju raya baru, kalau ada rezeki lebih pun biarlah untuk anak dan keluarga.”
Begitu luahan Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 41, ketika diminta menceritakan kisahnya yang buntu memikirkan cara mendapatkan wang bagi menampung kos penjagaan dan rawatan anak serta keperluan keluarga selain membayar tanggungan sewa rumah dan bil utiliti.
Lebih merunsingkannya adalah anak sulungnya, Qaireen Adriana Tihani, 14, masih perlu diberi perhatian kerana menanggung derita akibat penyakit jantung kronik.
“Saya bekerja sebagai penghantar barang dengan sebuah syarikat dan isteri (Fazleen Noor Adnan, 37) bekerja sebagai pembantu jualan.
“Sebelum ini rumah sewa kami tertunggak hampir lima bulan dan bekalan elektrik dipotong kerana tidak mampu membayar.
“Alhamdulillah, masalah itu selesai dengan bantuan kariah setempat dan tuan rumah faham dengan masalah saya cuma apa merisaukan kami rumah yang kami sewa sekarang hanya sehingga Jun ini kerana kontrak sudah tamat dan saya sedang mencari rumah sewa yang lain” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi perkembangan anaknya, Mohamed Haffiez berkata, Qaireen Adriana Tihani yang disahkan menghidap penyakit jantung kronik sejak berumur dua hari mudah tidak sihat sejak kebelakangan ini.
“Baru-baru ini pun anak saya pitam waktu nak pulang ke rumah.
“Buat masa ini saya sedaya upaya melakukan juga beberapa kerja lain bagi menampung kos penjagaan anak dan keluarga.
“Kalau bukan saya, siapa lagi kerana susah macam mana pun, saya ketua keluarga,”katanya.
Mohamed Haffiez berkata, setakat ini, Qaireen Adriana Tihani menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM500 sebulan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 88300021065015 atau Bank Simpanan Nasional (BSN) 1111529000020021 yang kedua duanya atas nama Mohamed Haffiez Mansor Taridi atau boleh menghubunginya di talian 019-6060168.
© New Straits Times Press (M) Bhd




