Bazar Jalan TAR tidak semeriah dahulu

Bazar Jalan TAR tidak semeriah dahulu

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Minggu terakhir untuk orang ramai membuat persiapan Aidilfitri sebelum pulang ke kampung halaman, bukan jaminan buat peniaga mengaut hasil jualan lumayan.

Peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), ketika ditemui hari ini mendakwa, jumlah pengunjung semakin berkurang berbanding tahun lalu, walaupun pada hujung minggu dan Aidilfitri berbaki kurang sembilan hari lagi.

Bahkan tinjauan Harian Metro ke lokasi turut mendapati suasana bazar berkenaan lengang pada sebelah pagi dan tengah hari, berbeza dengan suasana sebelum ini yang biasanya sesak selepas tiga minggu umat Islam berpuasa.

Peniaga baju kurta, Nur Azalia Azrin, 32, berkata, kekurangan pelanggan menyebabkan hasil jualannya lebih rendah, berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Saya sudah berniaga di sini sejak 15 tahun lalu, (dan) trend jualan setakat minggu terakhir Ramadan agak perlahan.

“Mungkin sebab ramai orang belum terima gaji, selain dalam bulan ini banyak sangat perkara yang berlaku, seperti awal bulan buka sekolah, tengah bulan nak puasa dan hujung bulan nak beli baju raya.

“Cuaca sekarang pun tidak menentu, contohnya minggu lepas kerap sangat hujan pada sebelah petang. Jika hujan memang tiada pelanggan yang datang,” katanya.

Peniaga kain pelikat dan kain batik, Saupi Harun, 64, yang berpengalaman berniaga di bazar itu selama 30 tahun turut mengakui sambutan pelanggan tahun ini sangat kurang.

“Jumlah pelanggan tahun ini bukan kurang sedikit, tetapi amat kurang.

“Ramai hanya tengok barang yang dijual dan jarang membeli,” katanya.

Dakwanya, susunan gerai secara ‘back to back’ pada tahun ini juga dikatakan mengganggu aliran pengunjung dan menyukarkan peniaga mendapatkan perhatian pelanggan.

“Sebelum ini khemah peniaga berada di kiri dan kanan jalan, manakala pengunjung jalan di tengah.

“Sekarang pengunjung perlu berjalan ke laluan bertentangan untuk lihat semua khemah.

“Pada pendapat saya, susunan asal sebenarnya lebih baiklah kerana memudahkan pengunjung melihat produk ditawarkan dan peniaga pun mudah mendapat perhatian pengunjung,” katanya.

Peniaga kuih raya, Mohammad Khairul Azhar Mat Sopi, 37, berkata, hasil jualan lebih 30 jenis kuih raya tradisional dan serunding pada minggu ini lebih baik, berbanding minggu awal Ramadan.

“Pelanggan kurang datang pada sebelah pagi, ramai memilih datang petang dan semakin sesak pada waktu malam.

“Namun, saya juga terasa sambutan pelanggan yang membeli pada tahun ini berkurang berbanding tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Mohd Farizuan Hafiz Zulkiply, 35, dari Ipoh turut terkejut melihat suasana Bazar Aidilfitri Jalan TAR, lengang.

“Seingat saya, empat tahun lepas keadaan di sini sentiasa sesak. Kita nak jalan kaki pun pasti berselisih dengan orang lain, tetapi sekarang pengunjung sangat kurang.

“Perkara ini mungkin disebabkan faktor ekonomi dan kewujudan platform beli-belah dalam talian.

“Namun, saya dan keluarga lebih cenderung beli di kedai sebab saya boleh pilih saiz dan cuba kain yang sesuai,” kata bapa anak dua itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top