
SEORANG ejen perisikan Israel, Shabak dijatuhkan hukuman mati oleh pasukan pejuang setelah mengaku berkhidmat menyalurkan maklumat terperinci mengenai kedudukan warga Palestin. Ini bagi membolehkan Israel melakukan pengeboman dengan tepat kepada sasaran.
Tertuduh yang diumumkan bernama H.S. berusia 48 tahun telah dibicarakan oleh mahkamah pejuang didapati bersalah menyebabkan kematian ramai di kalangan warga Gaza.
Ejen penjajah itu dihukum mati pada hari Jumaat 21 Mac lalu dengan cara ditembak dengan senapang.
Seorang pemimpin pejuang mengeluarkan kenyataan, “Kami tidak ada belas kasihan terhadap sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan musuh dalam membunuh warga kami. Kami menyeru sesiapa yang melakukannya agar segera bertaubat sebelum terlambat.”
Sebelum ini, sebaik pengunduran tentera Israel dari Bandar Gaza Januari lalu, pihak pejuang berjaya mengesan alat komunikasi tentera Israel yang disembunyikan di beberapa buah hospital di daerah ini.
Sejak Selasa lalu, Israel kembali melakukan pengeboman harian terhadap kawasan perkhemahan pelarian dan tempat-tempat awam yang menjadi tempat perkumpulan warga Palestin. Ia sekali gus membatalkan gencatan senjata yang diusahakan dengan perantaraan Qatar dan Mesir bermula 19 Januari lalu.
Sejak Oktober tahun lalu, dengan dukungan Amerika Syarikat, Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza dan telah menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap lebih 160,000 umat Islam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Lebih 14,000 orang masih gagal dikesan.
ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 22/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!







