Tunggang motosikal 500 km demi jumpa sahabat terpisah lebih 3 dekad

Tunggang motosikal 500 km demi jumpa sahabat terpisah lebih 3 dekad

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas 38 tahun terpisah, dua sahabat ini bertemu semula dan lebih istimewa lagi kerana pertemuan itu berlaku dalam Ramadan.

Mohd Nasir Omar, 50, berkongsi detik pertemuan itu di TikTok yang menunjukkan rakan dikenali Sharan, 55, sanggup menunggang motosikal EX5 sejauh kira-kira 500 kilometer (km) dari Kampung Batu Lima, Sik, Kedah untuk bertemu dengannya.

Menurut Mohd Nasir, pertemuan itu berlaku di sebuah masjid dekat Kampung Paloh Tuan Sulong, di sini kelmarin.

Katanya, pertemuan itu tidak dirancang kerana dia hanya dihubungi Sharan tiga hari sebelum mereka berjumpa.

“Sharan tiada media sosial dan dia dapat nombor telefon saya pun daripada seorang rakan.

“Waktu hubungi saya, Sharan panggil saya dengan nama panggilan yang kawan selalu guna.

“Bila saya tanya siapa, dia tak beritahu lebih lanjut cuma beri tarikh jumpa. Memandangkan Sharan tak pandai cari lokasi dan tiada WhatsApp, jadi saya yang beri panduan hingga kami berdua berjumpa di masjid,” katanya.

Mohd Nasir berkata, banyak yang dibualkan sepanjang pertemuan selama sejam itu.

Sebagai sahabat, dia sangat terharu dengan kesungguhan Sharan mencarinya sehingga mereka dapat bertemu semula selepas hampir empat dekad.

“Saya berkenalan dengan Sharan ketika Tahun Satu dan kami boleh rapat walaupun dia lebih berusia daripada saya.

“Cuma selepas keluar dari kampung, kami terpisah. Bila bersembang, baru saya tahu yang rupanya dia pernah datang ke Terengganu dan dua ke tiga kali datang cari saya.

“Cuma sebelum ini tak ada rezeki untuk kami berjumpa. Sampai tak terkata bila kami dapat jumpa semula dan saya ada ajak Sharan ke rumah tapi dia tolak kerana tak nak susahkan saya,” katanya yang juga bapa empat anak.

Mohd Nasir berkata, pertemuan itu bukan yang terakhir kerana merancang bertemu lagi pada masa akan datang.

“Ini baru permulaan dan jika ada rezeki, kami nak jumpa lagi. Saya pun ada beritahunya supaya terus berhubung dan maklumkan jika perlu sebarang bantuan.

“Lagipun, saya pun baik dengan keluarganya kerana arwah ibu dan bapanya dulu adalah cikgu saya.

“Kalau boleh, saya tak nak lagi terputus hubungan dan mahu jumpa juga rakan lain yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top