anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas diasak teruk dengan letupan bom dan kepungan selama 17 bulan, berjuta-juta rakyat Palestin di Gaza kini berdepan pula ‘peperangan air’ susulan tindakan Israel memutuskan bekalan elektrik ke wilayah itu sejak lebih seminggu lalu.
Tindakan itu mengakibatkan krisis air kritikal apabila operasi loji penyahgaraman air utama yang membekalkan 18,000 meter padu air minuman sehari kepada penduduk Gaza terhenti.
Kekurangan air bersih ketika rata-rata penduduk Palestin menjalani ibadah Ramadan menambah derita sedia ada susulan konflik berpanjangan sejak Oktober 2023.
Malah, lebih menyedihkan apabila rakyat Palestin ini turut berhadapan bencana alam sekitar yang serius apabila air kumbahan melimpah dan membanjiri jalan serta kawasan khemah penempatan.
Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Haji Zulkifli Wahijan berkata, pemotongan bekalan air menjadi senjata baharu perang oleh pihak Israel selain halangan terhadap bantuan bekalan makanan untuk memasuki Gaza.
“Berdasarkan maklumat disalurkan Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Abu Ayesh di Gaza, keadaan dialami rakyat Palestin semakin meruncing,” katanya.
Menurutnya, penduduk Gaza kini hanya mempunyai akses antara dua hingga sembilan liter air per kapita sehari, jauh di bawah jumlah minimum 15 liter yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam situasi kecemasan.
“Bencana banjir dan air kumbahan menjadi ancaman baharu kepada kesihatan penduduk Gaza,” katanya.
Menurutnya, pelbagai wabak penyakit menular susulan stesen kumbahan dan kolam pengumpulan air hujan tercemar.
“Keadaan menjadi tidak terkawal apabila air kumbahan membanjiri jalan-jalan di bandar Gaza yang runtuh akibat dibom Israel sebelum ini.
“Ia mencetuskan situasi amat tidak selesa di kawasan penempatan pelarian Palestin yang digenangi air busuk, serangga dan tikus,” katanya.
Menurutnya, krisis kemanusiaan dialami 2.4 juta penduduk Gaza ini semakin meruncing apatah lagi tanpa kemudahan asas dan bekalan air bersih.
“Sebelum ini sepanjang 175,000 meter rangkaian sistem pembentungan kumbahan di Gaza dimusnahkan tentera Israel. Ia termasuk 88 peratus kemudahan infrastruktur untuk penduduk Gaza.
“Dengan infrastruktur pembetungan yang rosak teruk, air sisa tidak dapat dirawat dengan sempurna, mencemari sumber air bersih dan meningkatkan kemungkinan wabak penyakit,” katanya.
Sementara itu salah seorang penduduk Gaza, Mohammad Barakat, berkata, Kolam Syeikh Radwan yang digunakan untuk mengumpul air hujan sebagai minuman di utara bandar Gaza turut tercemar.
Menurutnya, berlaku pencampuran air kumbahan dengan air hujan susulan banjir kilat yang berlaku sekaligus mendatangkan risiko kesihatan.
“Amat menyedihkan apabila pelarian Palestin di Gaza terpaksa hidup di tengah-tengah air sisa kotor ini.
“Malah, keadaan diburukkan lagi apabila tentera Israel kerap menyasarkan serangan terhadap Kolam Sheikh Radwan mengakibatkan kerosakan pada strukturnya.
“Lebih dibimbangi sekiranya berlaku hujan berterusan mengakibatkan air kumbahan melimpah dan membanjiri kawasan penempatan pelarian Gaza,” katanya.
Menurutnya, lebih 170,000 tan sisa sampah menimbun di seluruh bandar dan Israel menghalang pekerja perbandaran daripada sampai ke tapak pelupusan utama Gaza.
“Jika ini berterusan, penduduk Gaza sedang menghadapi bencana kesihatan yang besar.
“Pencemaran ini akan menimbulkan ancaman langsung kepada kesihatan awam dan memburukkan lagi krisis alam sekitar dan kemanusiaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




