Bingung baju raya pelanggan semua rosak

Bingung baju raya pelanggan semua rosak

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang tukang jahit bukan sahaja sedih rumahnya ditenggelami banjir, malah turut bingung apabila lebih 20 pasang baju raya pelanggannya yang sudah siap rosak akibat bencana alam itu.

Nana Nurizuna Ismail, 39, yang juga penduduk Kampung Maju Jaya di sini, berkata dia sedih tidak dapat menyelamatkan baju ditempah pelanggannya itu.

“Saya betul-betul tidak sangka banjir kali ini seteruk ini. Ketika kejadian pada Rabu malam, saya memang berada di kedai dan saya sudah cuba mengalihkan semua pakaian pelanggan ke tempat lebih tinggi.

“Saya kemudian pulang ke rumah kerana mahu lihat keadaan rumah yang berada di kawasan lebih rendah. Siapa sangka, air naik begitu cepat.

“Pagi esoknya air sudah naik hampir bumbung rumah, kami kelam kabut capai apa yang sempat sebab sudah diarahkan berpindah keluar dengan menaiki lori.

“Saya ingat kedai saya masih selamat, tetapi ketika lori lalu di kedai, saya nampak air sudah naik dan menjelang petang semakin tinggi,” katanya yang mengusahakan perniagaan sejak tiga tahun lalu.

Nana berkata, ada pelanggan memahami keadaan yang dialaminya dan tidak meletakkan kesalahan pada dirinya atau meminta ganti rugi.

Namun, dengan kerugian dialami mencecah antara RM8,000 hingga RM10,000, termasuk mesin jahit dan kelengkapan jahitan, dia juga bingung untuk mengganti pakaian pelanggan yang rosak.

“Mana-mana baju pelanggan yang berwarna cerah dan kena air lumpur, memang kesannya nampak ketara. Tidak pasti sama ada ia boleh digunakan lagi atau hilang tak kesannya apabila dicuci.

“Baju yang dihantar pelanggan juga bukan murah, macam mana saya nak ganti baju itu. Tambahan pula, Aidilfitri semakin hampir,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan ubah suai baju.

Tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top