Jiwa murni jaga tak kaya

Jiwa murni jaga tak kaya

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuantan: “Saya tak kaya tapi cuba gembirakan kanak-kanak dengan memberi infak coklat. Apa yang saya lakukan ini bertujuan berkongsi keriangan pada semua,” ujar Mohd Izwan Abdul Jamil, 34.

Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan akan ke pasar malam dan bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini pada masa terluang untuk mengagihkan coklat kepada kanak-kanak yang berkunjung di situ.

Bagi menarik perhatian kanak-kanak, Mohd Izwan memakai kostum beruang dan lazimnya membuat agihan pada sebelah petang bermula jam 6 petang hingga bekalan coklat dibawa habis.

Berkongsi kisahnya, Mohd Izwan berkata, dia pernah hilang pekerjaan dan terpaksa memakai custom itu untuk mencari rezeki dengan menghiburkan orang ramai.

“Kostum ini saya beli hasil duit sumbangan seorang hamba Allah SWT. Sumbangan diberikan itu menjentik hati saya untuk melakukan infaq coklat.

“Walaupun kewangan saya belum stabil namun saya melakukan misi infaq ini dengan niat mahu bersedekah dan mengajak orang ramai menyumbang,” katanya.

Mohd Izwan berkata, kebiasaannya dia turun padang membuat agihan dengan ditemani anaknya, Muhammad Akmar Raykal berumur 11 tahun.

Katanya, walaupun coklat diberikan tidak mahal namun kegembiraan terpancar pada wajah kanak-kanak yang menerimanya.

“Tengok mereka gembira membuatkan saya seronok. Ia seperti terapi yang boleh hilangkan tekanan saya.

“Setakat ini ramai yang sokong dan beri sumbangan dengan niat untuk infak. Jadi saya akan teruskan selagi termampu,” katanya.

Menceritakan perihalnya, Mohd Izwan berkata, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak Oktober lalu dan tidak boleh melakukan kerja berat berikutan mempunyai sejarah penyakit tulang belakang.

Bapa tunggal itu berkata, dia pernah disahkan menghidap kemurungan namun tetap berusaha membahagiakan anaknya.

“Jika ada masa terluang, saya akan bawa anak saya ke pusara ibunya untuk melepaskan rindu,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu misi infak dan meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB bernombor 10601200 642421 atas nama Mohd Izwan Abdul Jamil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top