sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) meminta penyokong skuad Tok Gajah dapat membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi final Piala Malaysia antara Sri Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, perubahan tarikh baharu final piala berprestij itu diharap membantu peminat untuk hadir memberikan sokongan.
“Perubahan tarikh baharu ini diharap melegakan peminat Tok Gajah yang sebelum ini (12 April) memerlukan mereka membuat perancangan Ketika masih dalam mood raya.
“Tetapi apabila tarikh baharu diumumkan, kelab mengharapkan sokongan padu dapat diberikan kerana kali terakhir skuad Tok Gajah beraksi di pentas final piala berprestij ini pada 2014,” katanya.
Berdasarkan rekod, pada 2014 menyaksikan Sri Pahang bergelar juara selepas menewaskan JDT.
Sementara itu, Sri Pahang FC menerusi hantaran di Facebook rasmi memaklumkan tiket final bertarikh 12 April depan, yang dibeli penyokong skuad Tok Gajah kekal digunakan pada tarikh baharu iaitu 26 April nanti.
“Kepada penyokong yang berminat membuat pembelian tiket perlawanan akhir Piala Malaysia secara pukal, boleh berbuat demikian sebelum 11 April depan,” menerusi hantaran itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




