Puspakom yakin kekal relevan dengan 30 tahun pengalaman

Puspakom yakin kekal relevan dengan 30 tahun pengalaman

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yakin akan terus kekal relevan walaupun akan menghadapi persaingan daripada tiga syarikat baharu dalam sektor pemeriksaan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman, berkata Puspakom memiliki beberapa kelebihan, antaranya berpengalaman dalam sektor berkenaan selama 30 tahun.

“Kita mempunyai pelanggan yang ramai, setiap tahun 1.4 juta pelanggan datang periksa kenderaan dengan kita di 53 cawangan Puspakom seluruh negara.

“Walau apa yang berlaku, tahap kepercayaan kepada jenama Puspakom sudah ada.

“Kita faham ada isu teknikal yang sedang timbul dan kita sedang uruskan perkara itu, bagaimanapun saya rasa bagi yang biasa dengan Puspakom akan tahu kita lakukan kerja dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Puspakom di Glenmarie, di sini, hari ini.

Beliau berkata, persaingan juga akan meningkatkan prestasi kerja setiap syarikat, yang mana ia akan menguntungkan pengguna.

Katanya, dengan persaingan, setiap syarikat akan melakukan yang terbaik dan ia akan memberi keuntungan kepada pengguna.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, pihaknya bersedia berjumpa serta berkolaborasi dengan syarikat-syarikat pemeriksaan kenderaan berkenaan pada masa hadapan.

“Kita sedia berbincang dengan mereka mungkin pada masa hadapan dan boleh berkolaborasi dalam perkara yang menguntungkan semua pihak.

“Wujudnya tiga syarikat itu juga untuk memudahkan pelanggan memeriksa kenderaan mereka dan ‘end goal’ kita adalah keselamatan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, Puspakom meraikan 20 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras dan penjaga mereka serta rakan media dari pelbagai agensi.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan tiga syarikat baharu diluluskan melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), selain Puspakom.

Bagi fasa pertama, katanya, tiga syarikat baharu yang mendapat kelulusan adalah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd serta Beriman Gold Sdn Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top