Petaling Jaya: Penampilan selebriti terkenal tanah air memeriahkan acara AmBank Fiesta Raya @the Curve #MalaysiaKita di The Street, the Curve Mutiara Damansara, di sini.
Mereka antaranya penyanyi, Zue Eda, pelakon Liza Abdullah, pengacara Irma Hasmie, selain bekas peserta Akademi Fantasia (AF) Elliza Razak, Maulana dan Kapten Amai.
Selain sesi Meet & Greet bersama peminat, selebriti terbabit turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti istimewa seperti demonstrasi masakan dan perkongsian pengalaman Ramadan mereka.
Selain berhibur pengunjung acara yang dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun AmBank ke-50 itu memberi peluang kepada orang ramai menyertai sesi uji bakat menerusi program Bintang Rentak Lebaran.
Jurucakap penganjur berkata AmBank Fiesta Raya menawarkan pengalaman membeli-belah dan berbuka puasa yang unik kepada masyarakat.
Pelbagai aktiviti menarik bagi meraikan keunikan budaya Malaysia diadakan sepanjang program itu berlangsung.
Selain lokasi berbuka puasa yang selesa dan menawarkan pelbagai pilihan menu makanan.
AmBank, sebagai institusi kewangan yang komited dalam memperkasakan usahawan tempatan, terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro, terutamanya dalam industri fesyen, makanan dan kraf tangan yang menjadi tumpuan utama di Fiesta Raya ini.
Acara berlangsung setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam sejak 28 Februari lalu dan dijangka melabuhkan tirainya pada 29 Mac ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




