Mula mengendalikan program televisyen sejak tahun 2007, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Fadzly Fuad tidak ralat namanya kurang dikenali berbanding hos-hos lain.
Percaya kepada ketentuan Allah, lelaki yang mesra disapa dengan nama Ah Fad ini bersyukur dengan rezeki yang diterima.
“Saya tak ada perasaan ralat orang kurang mengenali saya. Tak ada rasa sebegitu. Saya percaya rezeki untuk dikenali belum sampai.
“Kadang-kadang saya rasa suka dengan keadaan sebegini, kurang dikenali. Apa yang penting, saya lunaskan kerja saya dan saya mendapat bayaran. Alhamdulillah, setakat ini mereka yang memberi tawaran pengacaraan berpuas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.
Selain menjadi pengacara MHI dan pembaca berita di Bernama TV, jadual Ah Fad sepanjang Ramadan dipenuhi dengan tawaran pengacaraan di festival membeli belah terkenal sempena Hari Raya.
“Saya bersyukur kerana sepanjang Ramadan, selain kerjaya sebagai hos televisyen, saya sibuk menjadi pengacara festival membeli belah terkenal seperti Starvendors dan beberapa acara serupa. Kadang-kadang tak cukup tidur, tapi saya suka apa yang saya lakukan.
“Bulan Syawal juga sudah ada tawaran masuk untuk menjadi hos rumah terbuka. Namun begitu, saya kurang mendapat tawaran mengendalikan acara secara langsung di luar bulan Ramadan dan Syawal.
“Saya suka mengacarakan acara secara langsung di majlis-majlis luar kerana ia dapat mengasah kebolehan saya sebagai hos. Saya berharap rezeki saya melimpah dan mendapat tawaran sama di bulan-bulan lain, Insya-Allah,” katanya lagi.




