Bintang filem 6 Jilake, Saiful Apek, Wan Gegau, Soya Souya, Myza Rafika, Chaoi Power dan Panglima Aduka tampil menggamatkan suasana sekitar River of Life dan Dataran Merdeka, baru-baru ini.
Barisan pelakon berbakat ini menjengah dua lokasi tersebut beberapa jam sebelum berbuka puasa dan ‘mood’ orang ramai bertukar riuh apabila mereka turun padang bertemu peminat dalam persalinan ala-ala orang lama.
Dengan menyarungkan pakaian karakter masing-masing dari filem tersebut, barisan pelakon ini mencuri perhatian ramai, termasuk pelancong antarabangsa yang berada di lokasi.
Keunikan ini membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama mereka.
Menurut penerbit 6 Jilake, Dr. Shasa Aziz, dia yakin aktiviti ramah mesra ini dapat mengeratkan hubungan dengan orang ramai selain memperkenalkan filem sulungnya yang bakal ditayangkan di pawagam pada 24 April nanti.
“Kami mahu membawa pengalaman filem terus kepada orang ramai. Dengan mengenakan pakaian karakter, ia bukan sekadar promosi biasa, tetapi memberi sedikit gambaran tentang dunia dalam 6 Jilake yang penuh aksi, komedi, dan elemen klasik.
“Kami percaya interaksi sebegini lebih dekat dengan penonton, terutama mereka yang mungkin belum mengetahui tentang filem ini,” katanya.
Dr. Shasa turut menegaskan pendekatan promosi seperti ini bukan sahaja untuk menarik perhatian, tetapi juga sebagai usaha menghidupkan kembali budaya filem tempatan yang menampilkan hiburan unik dan beridentiti.
“Kami sedar persaingan dalam industri perfileman sangat sengit, lebih-lebih lagi dengan kehadiran filem antarabangsa yang mendominasi pawagam.
“Oleh itu, kami mahu memastikan 6 Jilake mendapat tempat di hati penonton dengan cara tersendiri. Apabila pelakon turun ke padang dalam kostum, ia secara tidak langsung menimbulkan rasa ingin tahu.
“Kami juga melihat reaksi pelancong yang teruja bertanya, malah ada yang menyangka ini adalah sebahagian daripada persembahan kebudayaan tempatan,” jelasnya.
Tambah pakar audiologi ini, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan, malah ramai yang meluahkan keterujaan untuk menonton filem arahan Aziz M. Osman itu setelah sekian lama tidak mengarahkan filem epik.
“Kami terharu dengan respons positif, bukan sahaja daripada peminat tempatan, tetapi juga pelancong asing yang ingin tahu lebih lanjut tentang karakter dan filem ini.
“Ini membuktikan karya tempatan mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang bertanya mengenai latar belakang filem, ada juga yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang sejarah inspirasi di sebaliknya.
“Bagi kami, ini adalah satu kejayaan kecil dalam memperkenalkan sinema Malaysia ke peringkat yang lebih luas,” tambahnya.
Filem 6 Jilake menampilkan gabungan elemen klasik dan moden, diinspirasikan daripada 6 Jahanam arahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ia mengisahkan sekumpulan samseng upahan Belanda yang cuba merampas lombong bijih timah di perkampungan Perak, sebelum sekumpulan pendekar diupah untuk mempertahankan kampung daripada ancaman mereka.
Dengan kos produksi sebanyak RM2.8 juta, filem ini turut menerima peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Kementerian Komunikasi dan FINAS.
6 Jilake menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid dan ramai lagi.
Dengan kombinasi pelakon berkaliber dan jalan cerita yang menarik, 6 Jilake dijangka memberikan satu pengalaman baharu kepada penonton tempatan. Saksikan filem ini di pawagam bermula 24 April ini!




