Siti Nurhaliza Rai Anak Yatim, Tahfiz Serta Penggiat Seni & Pihak Media Yang Memerlukan Dalam Majlis Silaturahim Ramadan

Siti Nurhaliza Rai Anak Yatim, Tahfiz Serta Penggiat Seni & Pihak Media Yang Memerlukan Dalam Majlis Silaturahim Ramadan

Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza meneruskan komitmennya dalam kerja kebajikan dengan menganjurkan Majlis Silaturahim Ramadan dan berbuka puasa melalui Yayasan Nurjiwa yang diterajuinya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Majlis yang turut mendapat kerjasama Yayasan Prihatin dan Cuckoo ini bertujuan menyantuni golongan memerlukan, termasuk anak yatim, pelajar tahfiz, penggiat seni serta pengamal media dan diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, baru-baru ini.

“Majlis yang penuh bermakna ini menyaksikan seramai 30 anak yatim dari PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur dan 50 pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Islah (MTQI) Shah Alam menerima sumbangan duit raya, pakaian baharu serta beg makanan.

“Dalam usaha membantu golongan seni dan media yang turut terkesan dengan pelbagai cabaran, sebanyak 30 individu dari kalangan penggiat seni dan pengamal media turut menerima sumbangan sokongan kewangan, pakaian raya serta bantuan makanan,” kata Siti.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan berterusan, Cuckoo menyumbangkan tiga unit penapis air kepada sekolah dan pusat tahfiz terpilih bagi memastikan bekalan air bersih untuk kegunaan harian.

Tambah pelantun lagu Raya Nak Ke Mana itu, Yayasan Nurjiwa akan terus memainkan peranan aktif dalam kerja kebajikan melalui program Sedekah Nurjiwa yang membolehkan masyarakat umum menyumbang serendah RM1 sehari atau RM30 sebulan.

Inisiatif ini bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik serta menyokong pelbagai misi kebajikan yang dijalankan oleh yayasan tersebut.

“Kami percaya bahawa setiap sumbangan, walaupun kecil, dapat memberi impak yang besar. Oleh itu, saya menyeru orang ramai untuk turut serta dalam program ini bagi bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” tambah Siti.

Selain program kebajikan, Yayasan Nurjiwa bersama Yayasan Prihatin Nasional turut memperkenalkan program Kembara Ilmu Jiwa Prihatin, satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkasa masyarakat melalui ceramah agama, forum interaktif dan sesi motivasi Islamik.

Program ini dijangka menjadi platform bagi masyarakat untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat, memperkukuh hubungan spiritual serta membangun nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.

“Ilmu adalah asas dalam membentuk masyarakat yang lebih bersatu dan berdaya saing. Kami berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat besar kepada semua yang terlibat,” ujarnya lagi.

Majlis Silaturahim Ramadan ini mencerminkan usaha berterusan Yayasan Nurjiwa dalam membantu mereka yang memerlukan serta memperkukuh nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat, seiring dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan.

Scroll to Top