Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, semakin ramai penjawat awam di Malaysia mengambil pinjaman peribadi bagi menampung perbelanjaan perayaan.
Menurut laporan Utusan, seramai 70,000 kakitangan awam telah membuat pinjaman peribadi. Jumlah ini meningkat 10% berbanding bulan biasa yang hanya mencatatkan sekitar 60,000 peminjam.
Perkara itu dikatakan sendiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah.
Kenapa ramai berhutang?

Peningkatan pinjaman ini selari dengan trend tahunan, di mana permohonan pinjaman biasanya melonjak menjelang musim perayaan atau ketika menghadapi keperluan kewangan mendesak.
Antara faktor utama yang mendorong penjawat awam berhutang termasuk:
- Persiapan Aidilfitri – Baju raya, duit raya, balik kampung & juadah raya
- Keperluan pendidikan – Yuran sekolah & pendaftaran universiti anak-anak
- Kos sara hidup tinggi – Beban kewangan memaksa mereka mencari penyelesaian jangka pendek
- Kekurangan simpanan kecemasan – Tiada tabungan menyebabkan mereka terpaksa membuat pinjaman
Potongan gaji cecah RM1.5 bilion sebulan!

Abdul Fattah turut mendedahkan bahawa lebih 800,000 penjawat awam telah mengambil pinjaman melalui sistem pemotongan gaji. Jumlah potongan ini mencecah antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion setiap bulan!
Beliau menasihatkan penjawat awam supaya merancang kewangan dengan lebih bijak, mengelakkan perbelanjaan berlebihan, dan mula membina tabungan kecemasan.
#ApaKataOhmedia
Aidilfitri sepatutnya disambut dengan kesederhanaan, bukan dengan hutang yang membebankan! Sebelum membuat pinjaman, fikirkan jangka panjang dan pastikan anda mampu membayarnya semula. Raya tetap meriah walaupun sederhana!
