Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif yang tinggi ke atas import kenderaan dan alat ganti pada Rabu, dalam langkah untuk mencetuskan ketegangan dengan rakan dagangan menjelang levi yang dijanjikan lagi pada minggu depan.
“Apa yang kami akan lakukan adalah tarif 25 peratus ke atas semua kereta yang tidak dibuat di AS.
“Jika ia dibuat di AS, ia sama sekali bukan tarif,” katanya di Rumah Putih.
Langkah itu dijangka berkuat kuasa pada 2 April, dan memberi kesan kepada kereta buatan asing dan trak ringan, selain tarif sedia ada ke atas barangan berkenaan.
Sejak mengambil alih jawatan presiden pada Januari, Trump sudah mengenakan tarif ke atas import daripada rakan dagangan utama AS iaitu Kanada, Mexico dan China, serta duti 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium.
Tetapi Rumah Putih menambah bahawa kenderaan yang masuk di bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) boleh layak untuk kadar yang lebih rendah bergantung pada jumlah komponen buatan tempatan.
Begitu juga, alat ganti kereta yang mematuhi USMCA akan kekal bebas tarif apabila pegawai menetapkan proses untuk menyasarkan komponen bukan buatan AS.
Pentadbiran Trump menjadikan levi sebagai cara untuk meningkatkan hasil kerajaan.
Bagaimanapun, sasaran terhadap kereta import boleh menjejaskan hubungan dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Kanada, Mexico dan Jerman yang menjadi rakan kongsi rapat AS.
Kira-kira 50 peratus kereta yang dijual di AS dikeluarkan di dalam negara. Separuh lagi diimport dari Mexico dan Kanada, dengan Jepun, Korea Selatan dan Jerman, juga sebagai pembekal utama.
Bagi kereta buatan AS, lebih separuh daripadanya dipasang dengan komponen dari luar negara, kata seorang pegawai Rumah Putih.
© New Straits Times Press (M) Bhd