Tekad Perlahankan Kerjaya Seni, Awie Bakal Teliti Vokalis Baharu… Rancang Konsert Menuju 4 Dekad Wings

Tekad Perlahankan Kerjaya Seni, Awie Bakal Teliti Vokalis Baharu… Rancang Konsert Menuju 4 Dekad Wings

Legenda rock tanah air, Datuk Awie, mengumumkan hasrat untuk memperlahankan karier seninya demi memberi tumpuan kepada perniagaan serta meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Mengaku keputusan ini bukan sesuatu yang mudah, vokalis kumpulan Wings itu menegaskan, tidak akan meninggalkan dunia seni sepenuhnya, sebaliknya akan lebih banyak berperanan di belakang tabir.

“Berat sebenarnya untuk kurangkan aktiviti konsert dan persembahan. Tapi saya masih berkarya, cuma kali ini untuk orang lain, bukan diri sendiri. Saya lebih banyak bekerja di belakang tabir.

“Saya tidak meninggalkan industri mahupun Wings. Nyanyian tetap menjadi sumber rezeki saya,” katanya.

Awie berkongsi mengenai perkara demikian ketika ditemui pada majlis Iftar dan Sidang Media yang diadakan di Baba Nyonya House, Petaling Jaya pada Khamis.

Mengulas lanjut,  Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Othman menjelaskan, keputusan ini bukan sekadar perubahan dalam kerjaya, tetapi juga satu keutamaan untuk dirinya sebagai seorang bapa dan suami.

Menurutnya, jika ada peluang untuk berehat, dia ingin mengambil kesempatan itu untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

“Banyak perkara yang perlu saya uruskan, hingga masa dengan keluarga jadi terhad.

“Bayangkan, untuk konsert Triad baru-baru ini, latihan sahaja memakan masa sembilan jam sehari selama dua bulan. Sampai bila? Usia pun makin meningkat, takkan saya nak terus bekerja seperti ini sampai umur 60 atau 70 tahun?” jelasnya.

Vokalis baharu Wings

Ketika ditanya mengenai pengganti dirinya, Awie berkata,  pihaknya akan meneliti perkara itu demi memastikan kualiti kumpulan yang telah bertahan selama lebih empat dekad ini terus terjaga.

“Saya akan menilai dengan lebih mendalam kerana Wings sudah menjadi satu jenama selama lebih empat dekad.

“Saya perlu memastikan penyanyi baharu itu benar-benar serasi dan mampu memberi keserasian yang kukuh dengan ahli lain.

“Saya reda dan tiada masalah jika ada pengganti yang lebih baik. Jika dia mampu meneruskan legasi Wings, silakan. Saya tidak tamak, yang paling penting bagi saya adalah melihat rakan-rakan seperjuangan bahagia.

“Kalau saya hanya fikirkan diri sendiri, sudah lama saya mengutamakan kepentingan peribadi,” ujarnya

Dalam pada itu, Awie turut mendedahkan beberapa perancangan untuk Wings dan juga karier solonya.

Antara yang sedang dirancang ialah konsert tribute solo, persembahan amal di beberapa penjara secara percuma, serta Festival Wings sempena ulang tahun ke-40 kumpulan itu, yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober nanti.

Scroll to Top