am@hmetro.com.my
Bukit Gantang: Dua tan ayam, lapan ekor lembu dan 500 kilogram (kg) kerang licin dalam tempoh hanya sejam di Jualan Termurah Madani (JTM) Parlimen Bukit Gantang, pagi ini.
Ahli Parlimennya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata jualan dibuka kepada orang awam seawal 8 pagi dan selesai dalam tempoh sejam.
Dianggarkan lebih 2,000 pengunjung mula berbaris seawal 7 pagi di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di Kampung Benggali.
“Daging dan tulang lembu segar yang disembelih malam tadi kita jual hanya RM28 sekilogram, manakala kepak ayam kita cuma jual 50 sen sahaja.
“Selain itu beras putih tempatan (BPT) sebanyak 1,000 kampit atau 10 tan turut mendapat sambutan.
“Bagi barang kering pula kita menawarkan 30 peratus potongan,” katanya ditemui media hari ini.
Beliau berkata, jualan murah itu dianjurkan bagi membantu dan memudahkan urusan rakyat mendapatkan barangan termurah menjelang Aidilfitri.
“Kita mungkin akan anjurkan jualan ini sekali lagi esok berikutan sambutan diterima menggalakkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




