Waspada scammer menyamar pegawai AADK

Waspada scammer menyamar pegawai AADK

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan bertindak memeras ugut keluarga bekas penagih (klien) yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di AADK membayar jumlah tertentu bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

AADK dalam kenyataannya berkata, AADK mengesan dua kes membabitkan panggilan telefon dan e-mel secara terus dihantar `scammer’ kepada keluarga klien.

“Sehubungan itu, AADK ingin memberi peringatan kepada orang ramai mengenai modus operandi baharu penipuan dalam talian yang menyasarkan keluarga dan penjaga klien AADK dengan menyamar sebagai pegawai AADK ibu pejabat untuk mendapatkan wang ringgit.

“Bagaimanapun tiada mangsa penipuan dilaporkan setakat ini memandangkan semua mangsa terus merujuk Pusat Gerakan Hotlien (PGH) AADK untuk mendapatkan pengesahan,” kata AADK dalam kenyataan.

AADK komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan klien serta keluarga atau penjaga daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik licik penipuan yang menyalahguna nama AADK untuk kepentingan peribadi.

“AADK ingin menasihatkan ahli keluaga atau penjaga klien yang menerima panggilan atau e-mel yang mecurigakan terus menghubungi pegawai pemulihan AADK di daerah, negeri atau ibu pejabat sebelum sebarang tindakan dibuat seperti melakukan sebarang transaksi pemindahan wang kepada individu atau nombor akaun yang mencurigakan.

“Membuat laporan polis pada kadar segera dan laporkan perkara itu kepada AADK di pejabat AADK berhampiran atau menghubungi talian bebas tol PGH AADK bernombor 1-800-22-2235 atau aplikasi Whatsapp di talian 019- 626 2233,” kata AADK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top