am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lima tahun lalu, kelibat Dr Noor Hisham Abdullah di kaca televisyen pasti dinanti-nanti rakyat di negara ini untuk mengetahui maklumat berkaitan perkembangan semasa penularan Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Malah setiap kata-kata dilontarkan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu setiap petang paling dinanti orang ramai dan wajahnya kadangkala tersenyum dan kadangkala menyembunyikan wajah kepenatan dan kesedihan.
Jika maklumat yang disampaikan itu ada merekodkan kematian yang ramai atau kes meningkat jelas kelihatan wajah sedih namun bertukar gembira apabila diumumkan penurunan jangkitan sekali gus membawa kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dari hari pertama kes pertama Covid-19 melanda negara pada Februari 2020, Dr Noor Hisham dan pasukannya terpaksa bertugas lebih masa malah kadangkala sehingga 24 jam bagi memastikan negara selamat dari ancaman wabak itu.
Berkat kesungguhan pasukannya, tanggal 1 April 2022 menyaksikan pengorbanan mereka menunjukkan hasil apabila Malaysia beralih ke fasa endemik, menyaksikan orang ramai menjalani kehidupan normal termasuk dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
Mengimbau kenangan berdepan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan kluster pertama daripada perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada 12 Mac 2020.
Menurutnya, pada awalnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dimaklumkan sehinggalah menerima panggilan daripada rakan sejawat di Brunei, mengatakan seorang jemaah yang baru balik dari perhimpunan di sana dikesan positif.
“Situasi semakin genting apabila jangkitan naik mendadak di mana daripada 500 orang yang disaring, 400 disahkan positif dengan kaedah pengesanan terhad memaksa pihak KKM menyarankan satu langkah drastik.
“Kita perlu menggunakan kaedah kesihatan awam untuk menasihati perdana menteri ketika itu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan juga Kabinet mungkin yang terbaik ialah kita melaksanakan perintah berkurung (lockdown),” katanya.
Ketika itu, katanya, tiada istilah untuk berhenti berehat walaupun ada rasa kepenatan kerana menguruskan Covid-19 memerlukan komitmen sepanjang masa.
“Walaupun kita ada masa di rumah, tetapi libat urus kita untuk menguruskan Covid-19 itu 24 jam.
“Saya tidak dapat nafikan ketika itu fizikal, emosi dan mental benteng barisan hadapan diuji namun bimbingan dan sokongan bagi meyakinkan petugas kesihatan amat penting,” katanya.
Beliau berkata, jika mereka benteng pertahanan yang terakhir pun dijangkiti dan tidak dapat mengawal dan membendung Covid-19 maka negara akan terkesan,.
“Inilah amanah diturunkan. Isu dia bukan saya, tetapi usaha nak membendung dan kurangkan jangkitan Covid-19 dalam negara.
“Sebagai pakar bedah, saya boleh selamatkan satu nyawa pada satu masa. Tetapi dalam kesihatan awam, kalau dasar kita betul, kita boleh selamatkan satu negara,” katanya.
Menurutnya lagi, lebih membanggakan apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi pertama Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selama tempoh tiga tahun
Walaupun tidak lagi memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan, beliau bangga melihat bagaimana Malaysia, walaupun melalui pelbagai cabaran akhirnya berjaya mengawal pandemik dengan pendekatan kesihatan awam yang berkesan dan inovatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




