Harga lemang kekal, peniaga tak mahu bebankan pelanggan setia

Harga lemang kekal, peniaga tak mahu bebankan pelanggan setia

lokman.khairi@hmetro.com.my

Ampang: Meskipun dihimpit kenaikan kos bahan mentah, peniaga lemang di Batu 8, Hulu Kelang di sini memilih mengekalkan harga jualan seperti tahun lepas iaitu bermula RM16 hingga RM20 bergantung kepada saiz.

Pengusaha Pak Dean Lemang Tradisi, Kamariah Yeop, 68, berkata, dia tidak mahu membebankan pelanggan setia yang menanti saban tahun sejak perniagaan itu diusahakannya bersama arwah suami 43 tahun lalu.

“Mak cik bukan kejar keuntungan. Mak cik diajar oleh arwah suami kalau meniaga, jangan kita anggap dunia sahaja kita nak. Kita kena berniaga secara ikhlas… dunia pun nak, akhirat pun nak.

“Memanglah harga barang semua mahal, tapi bila mak cik fikirkan kalau mak cik jual mahal, pelanggan pun lari.

“Kedua, mak cik tengok muka orang kesian. Kalau orang itu ada anak ramai, kita jual mahal, mak cik pernah melalui anak ramai kecil-kecil kalau nak makan susah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, harga sekilogram santan naik RM10 berbanding RM7 tahun lalu, buluh pula RM2 berbanding RM1, manakala setiap guni beras pulut 50kg naik RM340 berbanding RM310.

“Tahun ini semua barang naik harga. Walaupun begitu, harga lemang tahun ini mak cik jual saiz kecil RM16, RM18 (saiz sederhana) dan RM20 bagi saiz besar.

“Mak cik tak letak harga mendadak sampai RM28, RM26, RM24 sebab ramai pelanggan yang datang semua muka lama-lama,” katanya yang berniaga dengan bantuan lima anak dan menantunya.

Kamariah berkata, mereka menyasarkan jumlah jualan sebanyak 5,000 lemang terjual pada hari ini sehingga pagi Aidilfitri yang dijangka disambut esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top