Netanyahu tawar laluan keluar, tapi tuntut Hamas lucutkan senjata

Netanyahu tawar laluan keluar, tapi tuntut Hamas lucutkan senjata

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, semalam menawarkan laluan keluar kepada pemimpin Hamas dari Gaza, namun menuntut kumpulan itu melucutkan senjata ketika serangan udara Israel masih menggempur wilayah Palestin berkenaan.

Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh apabila serangan udara Israel menyasarkan sebuah rumah dan khemah yang menempatkan pelarian di Khan Yunis, pada hari pertama Aidilfitri.

Seorang wanita, Samah Dahliz, 38, yang kehilangan ahli keluarganya dalam serangan itu berkata, perayaan Aidilfitri kali ini penuh kedukaan.

“Aidilfitri apakah yang kami lalui ini? Dia masih kanak-kanak.

“Ibu bapanya membelikan baju baru untuk menggembirakannya.

“Tetapi mereka dibom dalam khemah ketika sedang tidur,” katanya dalam nada sayu kepada AFP.

Israel menyambung kembali serangan dahsyat ke atas Gaza sejak 18 Mac lalu, sebelum melancarkan serangan darat terbaru sekali gus menamatkan gencatan senjata hampir dua bulan dalam perang dengan Hamas.

Netanyahu menolak kritikan dalaman yang mendakwa kerajaan tidak berusaha secara diplomasi untuk membebaskan tebusan Israel, sebaliknya menegaskan tekanan ketenteraan ke atas Hamas mula membuahkan hasil.

“Kami berunding dalam keadaan berperang… kami dapat melihat pendirian Hamas mulai menurun,” katanya dalam mesyuarat kabinet.

Netanyahu turut menyatakan dalam “fasa akhir”, Hamas perlu melucutkan senjata dan pemimpinnya akan dibenarkan meninggalkan Gaza.

Bagaimanapun, Hamas sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melepaskan pentadbiran Gaza tetapi menegaskan senjata mereka adalah “garisan merah”.

Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) kini sedang berusaha untuk memulihkan gencatan senjata serta mendapatkan pembebasan tebusan Israel yang masih berada di Gaza.

Seorang pegawai kanan Hamas pada Sabtu memaklumkan kumpulan itu bersetuju dengan cadangan gencatan senjata baharu yang dikemukakan oleh pihak perantara dan mendesak Israel supaya menerima cadangan itu.

Pejabat Netanyahu mengesahkan pihaknya menerima cadangan berkenaan dan telah mengemukakan cadangan balas sebagai respons.

Namun, butiran mengenai usaha rundingan terbaru itu masih belum didedahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top