Jururawat keguguran, terbakar selepas ritual guna mercun

Jururawat keguguran, terbakar selepas ritual guna mercun

Beijing: Satu insiden mengejutkan berlaku di Taiwan apabila seorang wanita mengalami keguguran dan terbakar teruk selepas mengikuti arahan untuk meletakkan mercun di antara kakinya semasa ritual.

SCMP melaporkan wanita yang bekerja sebagai jururawat di klinik pembedahan plastik dikenali dengan nama keluarga Qiu ini dijemput untuk menyertai sebuah ‘ritual berkat” di sebuah kuil di daerah Miaoli pada 19 Februari 2023.

Sebagai sebahagian daripada ritual, wanita itu diarahkan untuk menanggalkan kasut dan stoking, serta berdiri dengan mercun diletakkan di antara kaki.

Seorang lagi anggota kakitangan kuil, yang dikenali dengan nama keluarga Wu, kemudian menyalakan mercun yang akhirnya menyebabkan kejadian tragis ini.

Walaupun membakar mercun merupakan tradisi biasa dalam budaya Cina untuk menghalau roh jahat dan membawa tuah, meletakkan mercun di antara kaki sambil berdiri adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan berisiko tinggi, yang menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan serius.

Kejadian ini menimbulkan kebimbangan dan kejutan dalam talian, dengan ramai yang mempersoalkan keselamatan amalan dan tanggungjawab mereka yang memberi arahan dalam ritual itu.

Letupan itu menyebabkan badan Qiu terbakar 30 peratus, selain mengalami keguguran.

Walaupun sudah menjalani pembedahan, namun Qiu belum sembuh sepenuhnya.

Akibat insiden itu, Qiu menyaman kakitangan kuil, Zhang dan Wu, untuk mendapatkan pampasan atas kos perubatan, sara hidup, gaji yang hilang, serta kerosakan emosi, dengan jumlah tuntutan NT$1,749,246 (kira-kira AS$53,000).

Walaupun Zhang dan Wu mengakui kecederaan dialami Qiu, mereka membantah jumlah ganti rugi emosi yang diminta.

Mahkamah Daerah Miaoli di Taiwan memutuskan kedua-dua kakitangan kuil itu perlu bertanggungjawab bersama, kerana mereka gagal memastikan keselamatan Qiu semasa ritual berkenaan.

Mereka diperintahkan untuk membayar sejumlah NT$999,246 (AS$30,000) sebagai pampasan.

Mahkamah juga memutuskan tuntutan Qiu untuk kos perubatan NT$46,306 (AS$140), sara hidup NT$239,525 (AS$7,200), dan gaji hilang NT$263,415 (AS$8,000) adalah munasabah.

Selain itu, mahkamah memberikan pampasan NT$450,000 (AS$14,000) atas kerosakan emosi, berdasarkan pendapatan bulanan Qiu sebanyak NT$87,000 (AS$2,600), berbanding pendapatan Zhang dan Wu yang masing-masing sekitar NT$27,000 (AS$820).

Insiden pelik yang dilaporkan oleh saluran televisyen Taiwan, TVBS News, mengejutkan ramai orang di media sosial.

Beberapa pemerhati dalam talian menyuarakan rasa terkejut terhadap tindakan wanita itu, terbabit dalam ritual berbahaya itu, terutama sekali kerana dia seorang jururawat dan sedang hamil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top