BAITULMAQDIS/KAHERAH: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus menuntut kumpulan pejuang Hamas melucutkan senjata dan pemimpinnya meninggalkan Gaza.
Pemimpin rejim Zionis itu berusaha meningkatkan tekanan ke atas Hamas dan mahu mengembalikan tebusan yang masih bersama kumpulan itu.
Menurut Netanyahu, Israel berusaha untuk melaksanakan “pelan penghijrahan sukarela” Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Gaza dan memberitahu bahawa kabinetnya bersetuju untuk terus menekan Hamas yang menerima cadangan gencatan senjata melalui pengantara Mesir dan Qatar.
Namun pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, komen Netanyahu adalah resipi untuk “peningkatan yang tidak berkesudahan” di rantau itu.
Netanyahu pula menolak dakwaan bahawa Israel yang meneruskan pengeboman ke atas Gaza selepas gencatan senjata selama dua bulan dan menghantar tentera kembali ke kawasan itu, tidak berunding dengan mendakwa bahawa negaranya diancam.
“Kita lihat ada keretakan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan semalam.
Sabtu lalu, Khalil al-Hayya, pemimpin Hamas di Gaza, berkata kumpulan itu bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang menurut sumber keselamatan termasuk pembebasan lima tebusan Israel setiap minggu.
Namun, katanya meletakkan senjata seperti yang dituntut Israel adalah “garisan merah” yang tidak akan dilangkahi oleh kumpulan itu.
Semalam ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk beberapa kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel. Sembilan terbunuh dalam satu khemah di bandar selatan Khan Younis.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!








