8.8 tan sampah dikutip hari akhir Bazar Aidilfitri di Lorong TAR

8.8 tan sampah dikutip hari akhir Bazar Aidilfitri di Lorong TAR

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 8.8 tan sampah di Lorong Tuanku Abdul Rahman (Lorong TAR), di sini, berjaya dibersihkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari terakhir Bazar Aidilfitri.

Pada masa sama, DBKL turut berjaya mengitar semula sebanyak 250 kilogram (kg) sisa sampah dari kawasan berkenaan.

DBKL memaklumkan, operasi pembersihan intensif itu dijalankan bagi memastikan kawasan terbabit kekal bersih selepas tamatnya aktiviti perniagaan yang menjadi tumpuan ribuan pengunjung sepanjang Ramadan.

“Operasi ini membabitkan pasukan pembersihan DBKL dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd, yang bertindak pantas membersihkan kawasan sebaik saja bazar ditutup.

“Fokus utama adalah untuk memastikan longkang, laluan pejalan kaki dan kawasan sekitarnya bebas daripada sisa sampah dan kekotoran.

“Sebanyak 250kg sampah berjaya dikitar semula, terdiri daripada plastik, kertas dan aluminium yang dipungut dan dihantar ke pusat kitar semula untuk tujuan diproses,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

DBKL menegaskan, amalan menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan menggalakkan semua pihak, termasuk peniaga dan pengunjung untuk mengamalkan konsep ‘Sifar Sisa’ bagi mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar.

“Usaha ini mencerminkan komitmen DBKL dalam memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, indah dan selesa untuk semua, terutama di lokasi tumpuan seperti Lorong TAR yang menjadi mercu tanda utama semasa musim perayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top