norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun masih belum dikenali ramai, namun juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) TV3, Marygrace, 24, tidak berhasrat menyembunyikan status percintaannya.
Marygrace atau nama sebenarnya Marygrace Jane C Penserga berkata, dia sudah mempunyai kekasih hati dan percintaan antara mereka terjalin sejak empat tahun lalu.
“Saya berani mengakui ada kekasih hati sebab hubungan kami sudah lama. Sebelum saya ada di tahap sekarang (juara CSOIAM), dia (kekasih) sudah hadir di sisi dan selalu menyokong saya.
“Banyak nasihat yang dia beri kepada saya untuk terus kuat berdepan cabaran di Kuala Lumpur ini. Kami juga sudah empat tahun bersama dan dia berasal dari Sabah,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada mereka kini menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ), Marygrace mengaku dan memaklumkan kekasihnya lebih selesa menetap di Sabah kerana perlu menguruskan perniagaan di sana.
“Sebenarnya saya ada terfikir mahu dia berpindah ke Semenanjung dan menetap di sini untuk menjaga saya. Tapi, bila difikirkan lagi tidak elok juga sebab kami tiada ikatan yang sah.
“Kami juga belum terfikir nak berkahwin sebab masih muda dan dia pun berumur 24 tahun. Jadi, kami ingin kejar dulu impian dalam karier, dapat beli aset sendiri dan stabilkan kewangan.
“Tapi, apa-apa pun urusan jodoh ke depannya kami serahkan semua kepada Tuhan. Cuma, apabila berjauhan kami selalu berkomunikasi di telefon, termasuk membuat panggilan video,” katanya.
Ujar Marygrace, dia dan kekasihnya juga mahu membahagiakan ibu bapa dan keluarga mereka terlebih dulu kerana itu menjadi keutamaan sebagai anak sebelum memikirkan keperluan sendiri.
Bagi karier nyanyiannya, Marygrace teruja muncul dengan lagu raya pertama, Kemas Kemas Raya yang dirakamnya bersama empat rakan lain di CSOIAM iaitu Jimi Kamal, Kai Deva, Zazleen dan Mariam.
Lagu raya hasil ciptaan bersama komposer Adam Stapler dan Madebyartin itu dilancarkan kepada penggemar muzik tanah air pada 18 Mac lalu dan difahamkan mendapat sambutan yang sangat positif.#kw Marygrace, penyanyi, dari Sabah, juara CSOIAM, dah ada kekasih, empat tahun bercinta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




