'8 tahun saya sendirian, berhari raya di pusara keluarga'

'8 tahun saya sendirian, berhari raya di pusara keluarga'

am@hmetro.com.my

Bachok: Di saat orang lain meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang, Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, 27, hanya mampu meraikannya bersama keluarga di pusara sejak lapan tahun lalu.

Ini kerana dia kehilangan ibu bapa, Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim dan Masnoraida M Yusoff serta abang dan adik beradik lain, Wan Muhammad Muhaimin, Wan Nor Athirah, Wan Mohd Amar Haziq dan Wan Nor Alisya dalam kemalangan ngeri lapan tahun lalu.

Wan Muhammad Hazim berkata, lebih pilu kejadian yang meragut nyawa semua ahli keluarganya berlaku pada 16 Ramadan, dua minggu sebelum umat Islam meraikan Aidilfitri.

Katanya, pada tahun pertama kejadian, dia seperti tidak mahu meraikan Aidilfitri kerana masih tidak boleh menerima hakikat kehilangan semua ahli keluarga sekelip mata namun mendapat semangat untuk meneruskan menerusi sokongan ibu bapa saudara, saudara-mara dan sahabat sekeliling.

“Saya rasa hidup sangat kosong, ambil masa bertahun-tahun juga untuk pulih, tapi sekarang saya lebih kuat.

“Nasihat saya, kalau yang masih ada keluarga, walaupun sibuk macam mana sekalipun pulangnya beraya dengan ibu bapa dan keluarga selagi mereka masih ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Jelawat, di sini, hari ini.

Wan Muhammad Hazim berkata, setiap 1 Syawal dia akan menunaikan solat sunat Aidilfitri dan pergi ke kubur keluarganya sebelum beraya ke rumah keluarga di sebelah arwah bapa di Jelawat dan sebelah arwah ibu di Kampung Pak Badol, Melor.

Antara kenangan raya yang tidak dapat dilupakannya adalah menikmati hidangan nasi dagang air tangan arwah ibu dan menghadap jalan jem untuk pulang ke kampung bersama ahli keluarga.

“Kini saya pulang ke kampung seorang diri, rasa hidup sangat kosong dan sunyi, nak harapkan saudara mara, masing-masing sudah punya keluarga.

“Saya rancang tahun depan dapat jodoh dan berkahwin, semoga ini tahun terakhir saya raikan Aidilfitri seorang diri,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Pada tahun 2017, semua ahli keluarga Wan Muhammad Hazim meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Exora dinaiki terbabit kemalangan dengan empat kenderaan termasuk treler dalam kejadian di Kilometer 25, Jalan Keratong – Bahau, dekat ladang Risda Palong, Jempol, Negeri Sembilan.

Kemalangan menyebabkan lapan maut termasuk enam keluarga Wan Muhammad Hazim yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jelawat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top