'Rezeki Allah pinjamkan ditarik sekelip mata' – Penduduk terkesan kebakaran saluran paip gas

'Rezeki Allah pinjamkan ditarik sekelip mata' – Penduduk terkesan kebakaran saluran paip gas

surayaroslan@mediaprima.com.my

Subang Jaya: “Siapa tak sedih melihat rumah dibina dengan titik peluh sendiri jadi sedemikian rupa.

“Dulu Allah pinjamkan rezeki kepada saya dan suami, Zaini Saidon untuk bina rumah atas tanah ini, namun Allah juga tarik balik nikmat ini, semoga Allah rezekikan kami sekeluarga kembali membina kehidupan di atas tanah sama.”

Demikian luahan Fadilah Yusof, 68, salah seorang penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru yang terkesan akibat kebakaran saluran paip gas sehingga menjejaskan sambutan Aidilfitri mereka sekeluarga.

Menceritakan kejadian itu, ibu empat anak itu berkata, pagi kejadian dia sedang bersiap untuk ke Rawang untuk berhari raya.

“Namun tiba-tiba saya dengar bunyi letupan kuat kemudian dihujani seperti ‘hujan air batu’ dan api menjulang tinggi di udara.

“Saya terkejut dan masih trauma dengan kejadian ini, tidak dapat dibayangkan bagaimana bahang kepanasan, sangat panas.

“Hendak menangis pun tiada berair mata, kelam sudah sambutan Aidilfitri kami. Rezeki Allah pinjamkan ditarik sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Masjid Putra Heights, di sini, yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Mengimbau detik cemas itu, wanita kelahiran Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu asalnya enggan meninggalkan rumah, namun dipujuk anak bongsunya, Mohd Rizuwan Zaini.

“Anak pujuk, keluarlah emak. Jangan susah hati, kalau tiada rumah, emak boleh tinggal dengan anak. Mengenangkan pujukan Mohd Rizuwan saja yang buat saya keluar juga dari rumah.

“Sedih melihat rumah, kami meminjam sana sini untuk bangunkan rumah sedikit demi sedikit. Namun, Allah ada perancangan tersendiri dan Dia tarik balik nikmat yang pernah dikurniakan kepada kami, sebelum ini.

“Apa yang saya boleh buat sekarang hanya berdoa supaya Allah rezekikan kami sekeluarga kembali membina kehidupan di atas tanah sama,” katanya.

Fadilah adalah antara ratusan mangsa yang ditempatkan di PPS di Masjid Putra Heights di sini, selepas kejiranan mereka ditimpa musibah terbabit.

Semalam kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.

Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

Warga emas itu juga berharap ada keajaiban yang berlaku untuk mereka sekeluarga bangkit semula daripada episod duka itu.

“Di usia tua ini, manalah saya mahu mencari duit lagi untuk membina rumah, sedih apabila difikirkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top