Kerajaan negeri tidak akan kompromi

Kerajaan negeri tidak akan kompromi

PETALING JAYA: Kerajaan negeri komited memastikan siasatan tragedi kebakaran paip gas dijalankan secara menyeluruh dan telus serta sebarang unsur salah laku tidak akan dikompromi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu kelancaran siasatan.

“Siasatan ini juga akan mene­liti punca utama kebocoran saluran gas yang dipercayai mencetuskan letupan besar sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda dalam skala yang besar,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan segera menya­lurkan bantuan kepada mangsa kebakaran yang membabitkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Amirudin berkata, laporan awal kejadian itu akan dibentangkan dalam 72 jam.

“Saya juga menggesa agar mangsa yang masih belum mendaftar untuk bantuan supaya berbuat demikian segera bagi memastikan mereka tidak tercicir.

“Saya juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan yang kini dike­tuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top