Dakwaan seorang individu di FB ada gelaran Datuk Seri adalah tak sah

Dakwaan seorang individu di FB ada gelaran Datuk Seri adalah tak sah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Gelaran ‘Dato’ Seri, Knight Grand Commander of The Most Illustrious Order of the Crown of Selangor (SPMS)’ yang didakwa oleh seorang individu menerusi Facebook, adalah tidak sah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor ada menerima satu laporan polis di daerah Shah Alam berhubung penipuan menggunakan darjah kebesaran Sultan Selangor bagi gelaran tidak sah itu di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

“Ekoran laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemilik laman sosial Facebook itu secara jelas menggelarkan dirinya sebagai Dato’ Seri dengan mendakwa dikurniakan oleh Sultan Selangor.

“Pengesahan sudah dibuat dan pihak polis mendapati, pemilik akaun Facebook itu tidak pernah menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor dan menggunakan gelaran Dato’ Seri secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu katanya, pihak polis meminta kerjasama pemilik akaun yang disyaki menggunakan Datuk Seri palsu ini segera memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.

Pada masa sama katanya, polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang menyalahgunakan mana-mana darjah kebesaran atau gelaran tidak sah.

“Kesalahan menggunakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ Seri disyaki palsu boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) Αkta Kesalahan Berhubung Dengan Anugerah 2017, sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun.

“Manakala kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pemberian darjah kebesaran Sultan Selangor adalah satu simbol penghormatan dan martabat yang perlu dihormati dan dilindungi dari sebarang penyalahgunaan.

“Sekiranya mana-mana individu mempunyai maklumat berkenaan pemilik Facebook terbabit diminta menghubungi polis di talian 03-5520 2222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top